KUALA LUMPUR- Merempuh anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pintu belakang pusat hiburan serta lari berkaki ayam.
Demikian aksi wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ketika cuba meloloskan diri dalam serbuan Op Gegar di sebuah pusat hiburan di Kepong, di sini, malam tadi.
Bagaimanapun, tindakan beberapa wanita itu berjaya digagalkan pasukan serbuan apabila dapat menghidu ‘pintu rahsia’ yang berada di belakang premis tersebut.
Wartawan Kosmo! yang mengikuti serbuan mendapati, pusat hiburan tersebut menawarkan perkhidmatan GRO bermula dengan harga RM1,000 sehingga RM10,000 berdasarkan selempang yang dipakai.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan yang bermula pukul 11 malam itu dilakukan hasil risikan semalam dua minggu.
Jelasnya, seramai 80 individu diperiksa membawa kepada penahanan 35 warga asing berusia 18 hingga 58 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Antara wanita ditahan adalah 19 orang warga Thailand, Myanmar (2 orang), Vietnam (7 orang). Bagi lelaki pula, seorang warga Indonesia dan Bangladesh (6 orang),” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Katanya, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang ditahan akan siasatan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Terdapat juga PATI yang tidak mempunyai pas dan permit, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Pemilik premis pula disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.
Tambah Wan Mohammed Saupee, pihaknya memberikan peringatan tegas kepada mana-mana pihak melindungi PATI agar tidak meneruskan perbuatan tersebut.
Kata beliau, tindakan tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana PATI termasuk majikan yang menggajikan PATI di sekitar ibu negara.-https://amiminerals.org/.