LIVERPOOL – Aura Anfield sekali lagi akan menjadi ‘senjata’ buat Liverpool untuk mengekalkan rekod bersih di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bertemu juara Jerman, Bayer Leverkusen awal pagi esok.
Pengurusnya, Arne Slot juga sudah pun dapat meresapi tenaga luar biasa di gelanggang keramat itu dan percaya pemainnya juga merasai perkara sama.
“Kami melakukan perubahan taktikal (menentang Brighton), namun ia tidak menjadikan kami lebih kuat. Semuanya lebih berkisar kepada apa yang pemain lakukan dengan menunjukkan sikap dan intensiti berbeza.
“Apabila ada sesuatu yang menentang perancangan kami, sudah pasti kami kena bangkit dan itulah sang juara sering lakukan. Sekarang kami memiliki ramai pemain yang memiliki aura juara.
“Penyokong juga begitu luar biasa dan itulah sorakan paling kuat pernah saya dengar sejak mula tiba di sini,”katanya.
Selain kembali menerajui carta Liga Perdana Inggeris, The Reds juga sedang mendominasi kelompok atasan UCL apabila meraih kemenangan bersih dalam tiga aksi menentang RB Leipzig, Bologna dan AC Milan.
Sementara itu, pertahanan Liverpool, Joe Gomez turut menzahirkan kesediaannya untuk memainkan peranan lebih besar buat pasukan selepas kecederaan dialami Ibrahima Konate.
“Saya perlu sentiasa bersedia walaupun di bangku simpanan kerana saya bukannya penonton. Saya berada dalam pasukan adalah untuk melakukan tugas saya,” jelasnya. – AGENSI