Badan tak lut walau ditikam berkali-kali, disimbah asid

lelaki kebal

Sudira berehat di rumahnya selepas diserang perompak. – Istimewa

JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Pandeglang, wilayah Banten digemparkan dengan kejadian seorang lelaki yang dikatakan kebal apabila dia tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun diserang menggunakan senjata tajam dan disimbah asid.

Laman berita Katuju melaporkan, lelaki bernama Sudira, 55, diserang enam perompak di Kampung Cisekeut.

Dia yang merupakan pengamal perubatan alternatif ketika itu dalam perjalanan ke rumah seorang pesakit untuk diubati.

Ketika dalam perjalanan, Sudira diserang enam perompak yang membelasahnya dan menikamnya berkali-kali menggunakan pisau.

Dia turut disimbah dengan asid, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kumpulan perompak itu akhirnya berundur selepas menyedari mereka sukar mencederakan Sudira.

Mereka bagaimanapun sempat mencuri motosikal, telefon bimbit dan wang tunai milik Sudira berjumlah 3 juta rupiah (RM830) sebelum mengikatnya menggunakan tali.

“Pelaku cuba mencederakan saya menggunakan pisau di bahagian perut dan punggung. Hanya terdapat bekas pisau pada badan tetapi saya tidak cedera.

“Saya kemudian diikat di pokok dan terus ditendang dan dipukul,” kata Sudira.

Sementara itu, polis tempatan berkata, pihaknya masih menyiasat kes itu. – AGENSI