Rakyat Amerika Syarikat mengundi hari ini

Cover Raya1 scaled

PENGUNDI membuat undian awal di New York, Jumaat lalu. – AFP

WASHINGTON – Berjuta-juta juta pengundi perlu melaksanakan tanggungjawab hari ini untuk memilih antara bekas presiden yang dituduh cuba membatalkan kekalahan dalam pilihan raya 2020 atau naib pre­siden yang akan menjadi wanita pertama memimpin Amerika Syarikat (AS).

Pilihan Raya Presiden kali ini menyaksikan calon Parti Demokrat, Kamala Harris, 60, menentang Donald Trump, 81, yang mewakili Parti Republikan dan beberapa calon kecil lain.

Pengundi bukan sahaja menentukan siapa Presiden AS tetapi turut memilih pemenang 34 daripada 100 kerusi di Dewan Senat dan kesemua wakil rakyat yang akan menduduki 435 kerusi Dewan Perwakilan untuk tempoh dua tahun.

Pilihan raya Presiden secara tradisinya diadakan pada hari Selasa selepas Isnin pertama pada bulan November.

Menurut Pusat Dasar DwiPartisan, bilangan rakyat Amerika yang layak mengundi pada 2024 ialah seramai 244 juta orang.

Sehingga 2 November lalu, le­bih 75 juta rakyat negara itu telah mengundi awal berbanding pada hari ini, demikian menurut maklumat pangkalan data Universiti Florida.

Pemenang pilihan Raya Pre­siden AS sebaliknya ditentukan melalui undi elektoral yang mengawal sistem pemilihan berdasarkan undi popular di 50 buah negeri dan sebuah zon pentadbiran persekutuan, Daerah Columbia.

Setiap negeri diperuntukkan undi elektoral yang berbeza berdasarkan bilangan penduduk seperti Vermont hanya mempunyai tiga undi elektoral (pemilih) berbanding California (54)

Terdapat 538 undi elektoral dalam pilihan raya itu, manakala calon perlu memenangi 270 undi elektoral jika mahu memegang jawatan Presiden AS.

Undi elektoral lazimnya akan diperoleh calon Presiden yang menerima undi popular terbanyak di seluruh negeri dan daerah pentadbiran.

Pada pukul 1.46 tengah hari (waktu tempatan) pada 21 Julai lalu, Presiden Joe Biden mengumumkan di platform X bahawa beliau tidak akan bertanding semula dalam pilihan raya kali ini bagi mempertahankan jawatannya selepas menang menentang Trump pada 2020.

Ia menjadikan Biden Presiden pertama sejak 1968 yang tidak bertanding semula.

Harris yang merupakan wa­nita kulit hitam dan keturunan Asia-Amerika pertama berkhidmat sebagai Naib Presiden AS, mendapat sokongan Biden untuk menggantikan beliau dalam pilihan raya tersebut.

Harris turut memenangi pencalonan Parti Demokrat, menjadikannya wanita kulit berwarna pertama mengetuai perlumbaan menjadi Presiden AS.

Lawannya, Trump terselamat dalam cubaan bunuh pada Julai lalu ketika berkempen di Pennsylvania dengan suspek yang dikenali sebagai Thomas Matthew Crooks, 20, ditembak mati oleh ejen Perkhidmatan Rahsia.

Percubaan bunuh kali kedua dilakukan lelaki bersenjata, Ryan Routh yang diberkas di sebuah padang golf di Florida, September lalu.

Parti Republikan memilih Trump sebagai calon Presiden AS pada Konvensyen Nasional Republikan 2024 yang diadakan Julai lalu di Milwaukee, Wisconsin. – AFP/AGENSI