— fotoBERNAMA (2024)
Daripada Kisho Kumari Sucedaram
ISTANBUL, 4 Nov (Iteenews) — Negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu mengutamakan perkongsian amalan terbaik dan menggalakkan kerjasama teguh dalam kalangan negara Islam untuk membangunkan ekosistem kewangan moden, cekap dan inklusif, yang berkesan menghentikan kaedah tradisi lapuk.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata usaha sedemikian penting dalam memperkukuh sistem pembayaran digital dan memastikannya memenuhi pelbagai keperluan masyarakat Islam global di samping berpegang kepada prinsip kewangan Islam.
Menurutnya OIC berperanan sebagai organisasi antara kerajaan kedua terbesar di dunia, yang berpotensi luas dalam pembangunan.
“Dengan sumber asli yang luas, modal insan yang pelbagai dan pasaran luas merangkumi empat benua, negara anggota OIC berpotensi dalam pertumbuhan ekonomi yang teguh,” katanya pada majlis perasmian Sesi Ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) di sini pada Isnin.
Fahmi memberi kenyataan sebagai wakil Kumpulan Asia negara-negara anggota OIC di COMCEC dan menjadi antara tiga wakil yang memberi kenyataan itu, termasuk dari Qatar dan Gambia.
Ini kali pertama dalam tempoh 40 tahun menteri dari Malaysia menghadiri COMCEC, dengan yang terakhir hadir ialah Tengku Razaleigh Hamzah pada 1984.
Menurut Fahmi umat Islam kini membentuk kira-kira 25 peratus daripada populasi global, mewujudkan pasaran yang berpotensi menjadi kuasa ekonomi yang ketara.
“Peningkatan umat Islam mewah di seluruh dunia berpotensi besar dalam perdagangan dan pelaburan antarabangsa. Untuk kekal berdaya saing dalam ekonomi global pada masa ini, kita mesti merebut potensi pendigitalan dan inovasi untuk memacu kesalinghubungan dan keterangkuman ekonomi,” katanya.