Usaha Diselaras, Perkongsian Ilmu Negara Anggota OIC Penting Dalam Transformasi Digital 

96c2fdb970dd3b74fe0ca74ab14247d16728d6db57218Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (tiga, kanan) ketika hadir pada sesi Ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sempena Lawatan Kerja ke Turkiye.– fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

ISTANBUL, 4 Nov (Iteenews) — Malaysia percaya usaha diselaraskan dan perkongsian pengetahuan dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adalah penting untuk memacu gelombang transformasi digital yang akan datang, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Menurutnya, dengan bekerjasama, negara anggota boleh menangani cabaran bersama, daripada halangan pengawalseliaan sehingga kepada risiko keselamatan siber, dan memanfaatkan potensi menyeluruh sistem pembayaran digital.

“Penekanan Malaysia dalam memperluas penerimagunaan pembayaran digital turut penting dalam memacu rangkuman kewangan terutama bagi masyarakat luar bandar,” katanya pada sesi perkongsian pendapat bertemakan ‘Transformasi Digital Sistem Pembayaran di Negara Anggota OIC’ di sini pada Isnin.

Sesi perkongsian itu diadakan bersempena Sesi Ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) OIC di Turkiye.

Fahmi berkata perjalanan Malaysia ke arah transformasi digital telah dibentuk menerusi pendekatan kolaboratif melibatkan kerajaan, industri kewangan dan pihak berkepentingan antarabangsa.

Menurutnya Bank Negara Malaysia berperanan utama sebagai pengawal selia, fasilitator dan penyokong bagi memastikan rangka kerja kawal selia yang kekal sejajar dengan kemajuan teknologi.

“Langkah perkongsian ini telah membolehkan kami membina landskap pembayaran yang berdaya tahan, berdaya saing dan inklusif,” katanya.

Sehubungan itu, Fahmi berkata Malaysia telah memberi tumpuan untuk membina ekosistem pembayaran yang berdaya tahan, inklusif dan cekap, berpandukan empat strategi utama.