Ringgit Terus Mengukuh Pada Sesi Awal Susulan Kelemahan Dolar AS

4b8e923c33747102047f0824c48f91cf5f7298889fb0c

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Iteenews)– Ringgit mengekalkan momentum pengukuhannya apabila dibuka meningkat pada Selasa ketika Indeks Dolar Amerika Syarikat (DXY) lemah susulan pengumuman data gaji bukan perladangan negara maju itu, Jumaat lepas.

Pada 8 pagi ini, ringgit meningkat ke paras4.3700/3795 berbanding dolar AS daripada 4.3715/3765 yang dicatatkan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY susut sebanyak 0.38 peratus kepada103.885 mata.

Beliau berkata hasil Perbendaharaan AS juga susut, mencerminkan jangkaan pengurangan kadar faedah utama negara maju itu pada minggu ini.

“Namun, sentimen pasaran kekal berhati-hati memandangkan persaingan sengit pilihan raya presiden AS yang terus menjadi faktor utama mempengaruhi keyakinan terhadap pasaran kewangan.

“Ringgit misalnya meraih pengukuhan semalam dengan kadar pertukaranUSD/MYR bergerak kepada RM4.3740 daripada RM4.3807 pada minggu lepas. Berikutan itu, ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil sementara menunggu keputusan pemilihan presiden AS pada minggu ini,” katanya kepada Iteenews.

Dalam pada itu, ringgit turut mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ini termasuk meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6609/6732 daripada5.6707/6772, naik berbanding yen Jepun kepada 2.8697/8761 daripada 2.8775/8810 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7519/7623 daripada 4.7636/7691.