Remaja Malaysia dipenjara seumur hidup di UK

remaja malaysia

Polis berkawal di sekolah Blundell selepas serangan tersebut. – Sky News

LONDON – Seorang remaja dari Malaysia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana menyerang dua pelajar yang sedang tidur dan seorang guru menggunakan tukul, lapor akhbar The Guardian semalam.

Thomas Wei Huang, 17, yang bersenjatakan tiga tukul, menunggu dua mangsa tersebut tidur sebelum menyerang mereka di Sekolah Blundell’s di Devon, pada Jun tahun lalu, demikian berdasarkan perbicaraan mahkamah di Exeter sebelum ini.

Selepas menjatuhi hukuman penjara minimum 12 tahun kepada Thomas pada 18 Oktober lalu kerana cubaan membunuh, Hakim Justice Cutts menarik balik sekatan ke atas penerbitan namanya. Ia pada mulanya tidak boleh didedahkan kerana pesalah merupakan individu bawah umur.

Thomas berasal dari Malaysia dan berumur 18 tahun pada Januari tahun depan. 

Dia dilaporkan berasal daripada keluarga kaya dan merupakan pelajar sekolah asrama Blundell’s. 

Semasa keterangannya, tertuduh memberitahu juri: “Saya mahu datang ke England untuk belajar di sekolah berasrama penuh. Saya tahu bahawa saya perlu tinggal di sekolah tujuh hari seminggu. Saya teruja untuk melakukannya.”

Thomas turut memberitahu juri bahawa dia menyimpan tukul di bawah bantalnya dan satu lagi di sisi katil, di sebelah tempat dia menyimpan makanan ringan. 

Apabila ditanya mengapa dia tidur dengan senjata berdekatan dengannya, Thomas menjawab: “Demi perlindungan.”

Remaja tersebut kemudian memberitahu mahkamah bahawa dia memerlukan perlindungan daripada ‘kiamat zombi’.

Pendakwaraya James Dawes KC berkata, tertuduh melakukan serangan dalam ‘kemarahan membunuh’ selepas dia melakukan kajian mengenai pembunuh bersiri dan kaedah-kaedah berbeza untuk membunuh.

Akhbar Daily Mail melaporkan, juri diberitahu bahawa tertuduh telah bertengkar dengan salah seorang mangsa dan menyangka rakannya itu mengejeknya semasa pelajaran sains.

Salah seorang mangsa pelajar pulih dengan baik, manakala seorang lagi mengalami kerosakan pada otak.

Sementara itu, seorang guru turut menjadi mangsa ketika dia cuba meleraikan serangan tersebut. Dia dipukul berulang kali pada kepala menggunakan tukul.

Ditanya bagaimana perasaannya sekarang, Thomas menjawab: “Saya amat kesal dengan apa yang saya lakukan terhadap mereka. Saya berasa sangat bersalah dengan semua orang, keluarga dan mereka (mangsa).” – AGENSI