Pesawat diserbu anggota SWAT kerana bunyi misteri

american airlines swat

Anggota SWAT yang lengkap bersenjata dan berperisai menyerbu masuk serta memeriksa ruang simpanan bagasi. – Facebook/PYOK

BUENOS AIRES – Sepasukan anggota unit taktikal polis menyerbu sebuah pesawat yang melakukan pendaratan cemas selepas bunyi hentaman misteri didengari dari ruang simpanan bagasi, lapor akhbar Metro UK semalam.

Penerbangan AA954 American Airlines dalam perjalanan ke New York dari  Buenos Aires pada Khamis lalu apabila bunyi kuat itu didengari.

Ia berpatah balik ke ibu negara Argentina tersebut selepas terbang pada jarak kira-kira 643 kilometer dan ketika berada pada ketinggian 9,144 meter di udara.

Sejurus mendarat, sepasukan anggota SWAT yang lengkap bersenjata dan berperisai menyerbu masuk serta memeriksa ruang simpanan bagasi.

Bagaimanapun, tiada sebarang perkara luar biasa ditemui, manakala seramai 243 penumpang terpaksa ditempatkan di sebuah hotel semalaman.

“Bunyi bising didengari dari ruang simpanan kargo, cukup untuk membuatkan juruterbang berasa curiga tentang berkemungkinan wujudnya entiti luar biasa,” kata pihak keselamatan lapangan terbang.

Semua penumpang kembali berlepas menggunakan pesawat lain keesokan harinya, manakala bunyi tersebut kekal misteri. – AGENSI