WASHINGTON – Syarikat induk rangkaian restoran TGI Fridays memfailkan bankrap, kata firma itu seperti laporan laman berita NPR semalam.
TGI Fridays Inc. berkata, pandemik koronavirus adalah pemacu utama cabaran kewangannya dan proses kebankrapan akan membolehkan syarikat tersebut meneroka pilihan alternatif strategik.
“Langkah seterusnya yang diumumkan hari ini (kelmarin) adalah tindakan yang sukar tetapi perlu untuk melindungi kepentingan terbaik pihak berkepentingan.
“Ia termasuk francaisi domestik dan antarabangsa kami dan ahli pasukan yang dihargai di seluruh dunia,” kata Pengerusi Eksekutif TGI Fridays Inc., Rohit Manocha dalam satu kenyataan.
TGI Fridays menyertai beberapa rangkaian terkenal dalam memfailkan kebankrapan tahun ini termasuk Red Lobster, Big Lots, Tupperware, Express dan Joann.
Terdapat 163 buah restoran TGI Fridays di Amerika Syarikat (AS) ketika ini, berkurang daripada 237 restoran pada Januari lalu. – AGENSI