15,000 rakyat Malaysia serbu pos imigresen Sadao 

Thai Malays1 scaled

SEJUMLAH pelancong yang memasuki Thailand dari selatan negara itu. – Foto Thairath

BANGKOK – Lebih 15,000 pelancong Malaysia memasuki Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao di Songkhla, Selatan Thailand pada Khamis lalu, lapor portal berita Thaiger.

Mereka memasuki pusat pemeriksaan itu bersama pelancong lain semasa cuti Deepavali di Malaysia dan ketika sambutan perayaan ‘hantu’, Halloween di Thailand.

Mengembara dengan kereta, bas atau motosikal, pelancong-pelancong itu menuju ke destinasi popular seperti Hatyai dan kawasan lain di Songkhla serta wilayah lain. 

Pegawai tempatan menjangkakan menjelang akhir hujung minggu ini, lebih 40,000 pengunjung akan memasuki Thailand dari negeri Kedah di Malaysia.

Penginapan di daerah Sadao dan Hatyai dilaporkan berada pada kapasiti maksimum dengan hotel-hotel ditempah sepenuhnya. 

Kedai, restoran dan perniagaan berkaitan pelancongan juga menyaksikan peningkatan yang ketara, kata sumber tempatan.

Pusat pemeriksaan sempadan Betong di Yala juga mengalami tahap aktiviti luar biasa apabila pelancong dari negeri Perak, Malaysia memasuki Thailand.

Kira-kira 8,000 pelancong menyeberang sempadan, Khamis lalu. Ramai yang melancong dalam kumpulan pelancongan yang teratur atau bersama keluarga masing-masing. 

Mereka dijangka meluangkan masa membeli-belah di Betong dan menerokai daerah jiran, Yala.

Sementara itu, di Betong, penginapan hotel dilaporkan berada pada kadar 95 peratus dengan 5,000 bilik hampir penuh ditempah sehingga Isnin ini. 

Tempoh sibuk itu dijangka menjana lebih 20 juta baht (RM2.58 juta) dalam hasil berkaitan pelancongan, lapor akhbar Bangkok Post. – AGENSI