Penduduk rakam ‘gelung cincin’ di sekeliling Matahari 

geli halo

Gambar Halo Matahari yang dirakam oleh penduduk di Dompu, wilayah Nusa Tenggara Barat. – Facebook

JAKARTA – Penduduk di Dompu, wilayah Nusa Tenggara Barat digemparkan dengan fenomena aneh apabila menemui lingkaran terang di sekeliling matahari, lapor saluran berita Liputan 6 semalam.

Kejadian ganjil itu berlaku sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan) dan berlarutan selama sejam.

Penduduk tempatan, Hendra Gunawan berkata: “Saya teruja apabila menyaksikan fenomena aneh ini buat kali pertama

“Selepas selesai solat Jumaat, cahaya terang ini masih kelihatan tetapi semakin nipis,” tambah Hendra. 

Orang ramai mengambil kesempatan menggunakan media sosial untuk berkongsi gambar lingkaran cahaya itu. 

Pegawai Stesen Meteorologi Sultan Muhammad Salahuddin Bima, Jenitha Asdia Putri berkata, fenomena itu dikenali sebagai Halo.

“Ia berpunca daripada pembiasan cahaya Matahari melalui hablur-hablur ais yang terbentuk pada awan cirrcumulus atau Sirus. 

“Orang ramai tidak perlu bimbang atau percaya pada mitos atau perkara karut marut mengenai fenomena ini,” tambahnya. – AGENSI