PUCHONG – Projek pemulihan tanah runtuh di Taman Wawasan, di sini menelan kos sebanyak RM12.1 juta termasuk pemasangan 775 batang cerucuk kepingan keluli serta pembinaan semula struktur tanah.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, perbelanjaan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pemilik tanah, Wawasan Indera Sdn. Bhd.
Menurutnya, projek pemulihan melibatkan dua fasa iaitu penstabilan sementara melibatkan pemasangan cerucuk keluli di kawasan runtuhan dan pembaikan longkang monsun sepanjang 83 meter.
“Penstabilan kekal pula merangkumi pembinaan semula struktur jalan, longkang monsun, dinding gabion serta kajian dan pembaikan terhadap kerosakan struktur rumah dan utiliti lain yang terkesan.
“Langkah-langkah ini termasuk pembaikan rumah dan infrastruktur utiliti seperti paip di bawah tanggungjawab Indah Water Konsortium Sdn. Bhd.. Projek penstabilan kekal ini bermula pada 15 Mei lalu dan dijangka mengambil masa selama enam bulan,” katanya.
Jelas beliau, Majlis Bandaraya Subang Jaya bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan tanah runtuh atau banjir yang dijangka berlaku ekoran Monsun Timur Laut yang akan tiba tidak lama lagi.
“Disebabkan iklim yang tidak menentu. Kami telah bersiap siaga sama ada kejadian banjir atau tanah runtuh,”katanya.
Disember lalu Kosmo! melaporkan, nyawa hampir 50 penduduk Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14, Taman Wawasan nyaris melayang apabila kediaman yang didiami lebih 23 tahun lalu tiba-tiba berlaku tanah runtuh hingga ‘menelan’ jalan.
Kejadian pada pukul 7 malam, 16 Disember itu berlaku ketika hujan lebat dan penduduk berada di dalam kediaman masing-masing.
Rata-rata mereka memaklumkan ia merupakan kejadian pertama sejak tahun 2000. Ekoran kejadian itu, kesemua penghuni yang terjejas terpaksa berpindah. – KOSMO ONLINE