‘Sayur rambut’ jadi snek popular

rambut viral

Tangkap layar menunjukkan penduduk tempatan menikmati hidangan ‘rambut manusia’ di China. – TikTok

BEIJING – Sejenis snek baharu di bandar Chengdu, China mencetuskan sensasi kerana bentuknya menyerupai gumpalan rambut manusia berwarna hitam, lapor portal berita Oddity Central semalam. 

Makanan aneh itu dinamakan Fa Cai atau Fat Choy. Ia adalah alga kering yang tumbuh di padang pasir dan kawasan iklim panas seperti Gansu, Shaanxi, Qinghai, Xinjiang serta Inner Mongolia.

Selain Fat Choy, nama samarannya ialah ‘sayur rambut’ kerana rupanya mirip dengan rambut manusia. 

Rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @kk.mk74 menunjukkan orang ramai memakan ‘rambut’ yang disalai itu dan ditambah serbuk perasa. 

Ada antara mereka menikmati makanan pelik itu dengan sup atau digoreng sehingga rangup. 

Orang ramai juga berpusu-pusu untuk mencuba snek jalanan baharu itu yang membuatkan mereka kelihatan seperti memakan rambut sebenar. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 64,300 tontonan di laman sosial dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen. – AGENSI