Trump pandu lori sampah ejek Biden 

trump pandu trak sampah

Lori sampah yang dipandu Trump tertera slogan popular ‘Make America Great Again’. – The Hill

WASHINGTON – Bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi memancing  perhatian orang ramai apabila hadir berkempen di negeri Winconsin sambil memandu lori sampah, lapor portal berita The Hill semalam. 

‘Aksi kempen’ luar biasa itu dilakukan gara-gara Presiden AS, Joe Biden yang melabelkan penyokong Trump di Puerto Rico sebagai ‘sampah’. 

“Adakah anda suka dengan lori sampah saya? Lori ini adalah untuk memberi penghormatan kepada Biden dan Naib Presiden AS, Kamala Harris,” kata Trump. 

Kempen tersebut cuba memanfaatkan kemarahan dalam kalangan penyokong Trump atas kenyataan Biden, meskipun Harris cuba menjauhkan diri daripada memberi komen mengenai perkara itu.

“Pertama sekali, beliau (Biden) telah memberikan penjelasan tentang kenyataannya tetapi biar saya jelaskan bahawa saya sangat tidak bersetuju dengan sebarang kritikan terhadap orang ramai berdasarkan siapa yang mereka undi,” kata Harris kelmarin. 

Biden mencetuskan tindak balas negatif pada Selasa lalu apabila beliau menyamakan  penyokong Trump dengan sampah, selain mengulas jenaka perkauman yang dibuat seorang pelawak pada perhimpunan Trump. 

Kenyataan berunsur retorik kebencian oleh Biden itu turut mengundang kritikan dalam kalangan penyokong Parti Republikan dan memaksa White House memadamkan transkrip ucapan Biden bagi mengelak salah faham. 

White House berhujah bahawa kenyataan Biden itu disalahtafsir kerana ia merujuk kepada retorik pada perhimpunan Trump di Madison Square Garden dan bukan penyokong Parti Republikan. – AGENSI