KEMAMAN – Keseronokan kira-kira 1,500 pengunjung konsert Malam Perayaan Patah Hati di sebuah kafe di Kuala Kemaman di sini terencat selepas diserbu pihak berkuasa malam tadi.
Serbuan pada pukul 11 malam itu dilakukan berikutan penganjuran konsert tersebut dilaksanakan tanpa kelulusan dan permit sah.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal turut mendapati peserta konsert ‘haram’ tersebut tidak menghiraukan notis larangan berkumpul yang ditampal Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di lokasi berkenaan.
“Kami menerima aduan daripada orang awam berkenaan gangguan bunyi muzik kuat dan kesesakan lalu lintas disebabkan penganjuran konsert itu pada pukul 9.20 malam tadi.
“Sehubungan itu, arahan menghentikan penganjuran program itu dikeluarkan serta-merta dan kesemua 1,500 peserta juga diminta untuk bersurai,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, sebahagian peserta konsert Malam Perayaan Patah Hati meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial berikutan arahan bersurai oleh pihak berkuasa.
Hanyan berkata, siasatan awal mendapati penganjuran konsert tersebut tetap diteruskan walaupun tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata, penganjur konsert Malam Perayaan Patah Hati akan dipanggil untuk memberi keterangan. – https://amiminerals.org/