Selepas tiga hari operasi padam kebakaran kilang selesai esok

Tompokan asap kebakaran masih bersisa di sebuah kilang

Tompokan asap kebakaran masih bersisa di sebuah kilang menempatkan barangan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa yang terbakar sejak Ahad lalu. Foto IHSAN BOMBA

KOTA BHARU – Operasi memadam kebakaran sebuah kilang yang menempatkan barangan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, dijangka selesai sepenuhnya esok.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Alam Nasut Ilias berkata, operasi hari ini melibatkan semburan tompokan asap di lokasi kejadian yang hanya tinggal 10 peratus lagi.

Menurutnya, pasukan bomba turut membuat pengasingan sisa yang terbakar kepada beberapa bahagian untuk memudahkan kerja semburan asap yang masih ada di kawasan berkenaan.

“Hanya tinggal tompok-tompok asap yang perlu dilakukan semburan. Pasukan dari Balai Pengkalan Chepa yang terdiri 18 anggota masih menjalankan operasi pemadaman asap di lokasi berkenaan hari ini,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, sebuah kilang yang menempatkan barangan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, di sini musnah dalam kejadian kebakaran pada petang Ahad lalu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafei berkata, operasi memadam kebakaran itu dijangka mengambil masa tiga hari berikutan kilang tersebut menyimpan banyak timbunan barang kitar semula. – https://amiminerals.org/