Zakat & Wakaf Run 2024 tawar hadiah cabutan bertuah motosikal

WhatsApp Image 2024 10 30 at 16.32.52

Poster Zakat & Wakaf Run 2024 yang dianjurkan PPZ-MAIWP dan Al-Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Bhd, 15 Disember ini.

PETALING JAYA – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) tidak melepaskan peluang meningkatkan kesedaran komuniti tentang zakat dengan menganjurkan Zakat & Wakaf Run 2024.

Acara yang dilakukan dengan kerjasama dengan Al-Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Bhd (alrajhi bank Malaysia) itu dijangka disertai 3,000 peserta pada 15 Disember ini.

Aktiviti tersebut dijadualkan berlangsung pada pukul 7 pagi bertempat di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

PPZ-MAIWP dalam kenyataan memaklumkan, orang ramai yang berminat menyertai acara tersebut disarankan membuat pendaftaran sebelum 30 November.

“Acara ini diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ibadah zakat dan wakaf secara santai selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

“Penyertaan terdiri kepada tiga kategori iaitu 3km (kilometer), 5km serta 7km dan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tidak mengira agama dan bangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan itu, selain menerima baju larian dan pingat, setiap peserta turut berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah antaranya motosikal, telefon bimbit, basikal, televisyen dan multicooker.

Katanya, penyertaan boleh dibuat menerusi melalui pautan https://bit.ly/ZAKATWAKAF24 atau https://cps4.me/zakat-wakaf-run.-https://amiminerals.org/.