Pencuri pulangkan cincin dengan nota mohon maaf

Cincin pulang3 scaled

PENCURI memulangkan semula cincin bersama nota yang ditulis perkataan maaf. – Foto Facebook

LONDON – Seorang bekas anggota tentera menangis kegembiraan selepas sebentuk cincin milik mendiang tunangnya dikembalikan kepadanya oleh seorang pencuri, lapor portal berita MailOnline semalam.

Darren Horsnell, 62, yang berkhidmat dalam Perang Falklands pada 1980-an, menyertai trip memancing bulan lalu sebelum pulang ke rumah dan mendapati pintu belakang kediamannya telah dipecahkan.

Dia berasa sedih apabila mendapati cincin pertunangan milik mendiang Tracey Vick telah dicuri. Ia diletakkan di atas abu mendiang selepas dia meninggal dunia akibat kanser.

Darren mengeluarkan rayuan di media sosial dengan menggesa pencuri tersebut melakukan perkara yang betul dengan memulangkan kembali cincin itu.

Awal bulan ini, cincin itu akhirnya diletakkan di dalam sampul surat oleh pencurinya.

Ia dimasukkan ke dalam sebuah peti surat komuniti bekas askar, tempat Darren bekerja sebagai pengurus seni.

Pencuri itu juga menulis nota berbunyi: “Maaf, Darren.”

Polis sedang memeriksa nota tersebut untuk mengesan cap jari bagi mengenal pasti identiti pencuri berkenaan. – AGENSI