AMSTERDAM – Satu gumpalan bercahaya berwarna oren ditemui dan ditarik keluar dari sebuah terusan di Belanda dengan ahli ekologi tempatan menganggapnya sebagai kejadian pelik, lapor portal berita MailOnline semalam.
Ia kelihatan seperti satu guni besar selepas dikeluarkan dari air oleh sukarelawan di Utrecht.
“Ia tergantung di dasar pulau terapung,”kata kumpulan pakar tersebut mengenai penemuan luar biasa itu pada awal bulan ini.
Entiti aneh itu kemudiannya disahkan terdiri daripada haiwan-haiwan yang dikenali sebagai beg air bryozoan. Ia berkumpul bersama dalam satu koloni.
“Beg besar itu dibentuk oleh beberapa haiwan bersama-sama. Pada satu ketika, ia membentuk koloni. Koloni yang berbeza kemudian boleh bersatu semula,”kata seorang pakar ekologi, Anne Nijs.
Menurutnya, beg itu berdiameter seluas 2 meter dan penemuan tersebut amat mengejutkan kerana makhluk hermafrodit itu bukannya berasal dari Utrecht.
“Namun, ia tidak merosakkan alam sekitar di sini,”tambahnya.
Beg itu kemudian dipulangkan semula di tempat ia ditemui. – AGENSI