KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan Malaysia menjadi hab air bagi negara-negara membangun dan serantau ASEAN menjelang tahun 2040.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Jawatankuasa Pengurusan Nasional AIR 2040 (NMC) akan ditubuhkan untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan tindakan.
“Sejajar dengan cita-cita ini, Malaysia akan menjadi pusat rujukan global dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan pembangunan bakat.
“Melalui peningkatan pelaburan dalam teknologi air, penyelidikan dan pembangunan kemahiran, kita boleh menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan global dalam bidang ini.
“Secara langsung menarik pelaburan asing dan membantu mencipta peluang pekerjaan lebih berkualiti untuk rakyat,”katanya pada Peluncuran Pelan Hala Tuju Transformasi AIR 2040 di ibu negara hari ini.
Terdahulu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, air tidak lagi boleh dilihat sebagai sumber awam semata-mata kerana potensi air untuk menjana pendapatan sangat besar.
Kata beliau, air adalah nadi kepada setiap aspek pembangunan ekonomi dan ketika ini sebahagian besar projek berkaitan air masih dibiayai oleh kerajaan.
Justeru, katanya, perlu ada keseimbangan di antara pembiayaan awam dan swasta bagi memastikan kelangsungan dan kemampanan sektor air.
Ujar beliau, ketika ini nilai setitik air belum menggambarkan nilai sebenar termasuk kos pengeluaran, pembangunan, penyelenggaraan infrastruktur serta pemeliharaan dan pemuliharaan sumber.
“Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi di Malaysia sekitar 37.4 peratus untuk peringkat kebangsaan pada tahun 2023 telah menyebabkan kerugian besar kepada negara.
“Jika kita tidak menguruskan sumber air secara lebih efisien, kita akan berdepan dengan peningkatan kos dan cabaran yang lebih besar pada masa hadapan,”katanya.
Selain itu, katanya, perubahan iklim telah membawa kesan yang semakin ketara kepada sumber air negara akibat banjir besar, kemarau panjang dan penyusutan sumber air.
“Kawasan-kawasan tertentu sudah menunjukkan tanda-tanda kritikal dalam pengurusan air. Tindakan segera diperlukan untuk memastikan sumber air kita bukan sahaja mencukupi, tetapi juga terurus dengan lestari,”katanya.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, kerajaan akan memastikan penguatkuasaan yang tegas dan proaktif terutama dalam mengawal pencemaran sumber air melalui undang-undang yang lebih ketat dan pengurusan sektor air yang lebih cekap. – https://amiminerals.org/