Penghantar makanan didakwa rempuh anggota polis

WhatsApp Image 2024 10 29 at 4.18.31 PM e1730191006156

Muhammad Shamil ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merempuh dan melanggar seorang anggota polis berpangkat Koperal minggu lalu.

Bagaimanapun tertuduh Muhammad Shamil Md Isa, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dr. Azrol Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merempuh dan melanggar sebuah motosikal yang dinaiki Koperal A.Rajaratnam, 48, dengan pengetahuan perbuatan itu boleh menyebakan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lampu isyarat di Jalan Segambut, Sentul di sini pukul 11.45 malam pada 21 Oktober lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xin tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

“Namun terserah kepada budi bicara mahkamah berhubung jaminan tersebut,”kata Vivien.

Bagaimanapun, peguam Nurul Atikah Rusli memohon supaya jaminan dibenarkan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh menanggung ibu bapanya.

“Anak guam saya bekerja sebagai penghantar makanan dengan pendapatan sekitar RM1,300 hingga RM1,500 sebulan dan masih belum berkahwin,”katanya.

Semasa prosiding, Hakim Dr. Azrol bertanyakan kepada pihak pendakwa bagaimana kejadian berlaku, Vivien kemudian memaklumkan semasa kejadian tertuduh bersama kekasihnya menaiki sebuah kereta.

Tertuduh telah ditahan oleh anggota polis untuk pemeriksaan, namun tertuduh kemudiannya bertindak menekan pedal minyak sehingga merempuh motosikal mangsa.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala motosikal mangsa yang dirempuh telah diseret oleh kereta tertuduh sejauh kira-kira 300 meter,”katanya.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Dr. Azrol kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 2 Disember ini bagi sebutan semula kes. – https://amiminerals.org/