KUANTAN – Kementerian Pendidikan (KPM) telah bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula lebih awal tahun ini dengan mempersiapkan ke semua warganya menghadapi bencana banjir.
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi berkata, kesedaran dan penglibatan komuniti KPM menjadi pemacu utama keberkesanan pengurusan dan pengurangan terhadap risiko bencana tersebut.
Menurut beliau, warga sekolah hendaklah sentiasa bersedia apabila institusi pendidikan mereka dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
“Sebagai contoh, jika kejadian bencana berlaku dalam sekolah sudah tentulah guru, murid, pengawal keselamatan, pekerja kebersihan dan kantin perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menangani situasi yang berlaku dengan cekap dan pantas bagi mengurangkan risiko kebarangkalian yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bersempena majlis Pelancaran Kesiapsiagaan KPM Menghadapi MTL 2024/2025 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Garuda di sini kelmarin.
Bersesuaian dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang diperkenalkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 3 Oktober lalu, ia berupaya menjadi paksi dan petunjuk kepada pengurusan risiko bencana yang mampan melalui teras strategi dan sasaran yang digariskan.
“Disaster Risk Reduction atau (DRR) ini merupakan satu intervensi bagi memastikan warga institusi pendidikan khususnya murid sentiasa bersedia menghadapi bencana.
“Murid diberikan pendedahan yang komprehensif tentang langkah-langkah menghadapi bencana, bagaimana mereka melindungi diri dan keluarga ketika berlakunya bencana,” ujar beliau.
Menurut Ruji, difahamkan bahawa sebanyak 258 institusi pendidikan beroperasi sebagai PPS pada musim MTL tahun lalu.
Sehubungan itu, bantuan dan kerjasama sewajarnya perlu diutamakan bukan sahaja kepada mangsa di PPS tetapi juga kepada agensi yang terlibat menguruskan PPS.
Selain itu, beliau menerangkan, SK Seri Medan di Batu Pahat, Johor, yang menjadi lokasi pembinaan pertama Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) dijangka siap pada November 2025.
“PPKB ini dilengkapi dengan kemudahan asas yang selesa bagi menampung mangsa bencana.
Terdapat sembilan projek rintis PPKB yang sedang dilaksanakan dan lapan daripadanya akan dibina dalam kawasan sekolah,” ujarnya.
Ruji juga menyeru agar warga KPM untuk bersama-sama menyahut rasa kebertanggungjawaban dengan melibatkan diri sebagai sukarelawan.
“Hal sebegini sewajarnya kita berikan sokongan dan dokongan. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua sukarelawan yang terlibat setiap kali bencana berlaku dan teruskan usaha yang murni ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Sharifuddin Ali Hussin berkata, program tersebut adalah acara tahunan yang menunjukkan optik keprihatinan KPM terhadap keselamatan dan kebajikan warganya berkaitan bencana.
Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan warga KPM menghadapi bencana, mewujudkan kefahaman tentang pendidikan pengurangan risiko bencana dalam kalangan murid dan warga sekolah.
“Ia juga dapat mewujudkan kerjasama semua pihak dalam menangani isu bencana dan meningkatkan penglibatan warga KPM sebagai sukarelawan,” jelasnya.
Menurut Sharifuddin, beberapa langkah kesiapsiagaan telah diambil KPM bagi menghadapi MTL tahun ini termasuklah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat kementerian melibatkan agensi pengurus bencana seperti NADMA, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Selain itu, kita juga mengeluarkan surat makluman berkaitan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir pada 22 Oktober lalu kepada semua jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan institusi pendidikan bagi memberi peringatan untuk mengambil langkah kesiapsiagaan menghadapi MTL tahun ini sekali gus mengurangkan risiko kerugian yang akan dihadapi meliputi nyawa dan harta benda.
“Surat peringatan ini disertakan dengan garis panduan tindakan sebelum, semasa dan selepas berlaku bencana banjir samada institusi yang berisiko banjir atau sekolah yang menjadi PPS.
“Tindakan sekolah yang perlu diambil ketika menumpangkan murid atau pelajar semasa menghadapi bencana banjir serta menyenaraikan peranan JPN, PPD dan bahagian KPM dalam menguruskan bencana banjir,” katanya.
Sharifuddin berkata, antara langkah lain yang diambil adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Task Force Bencana Banjir MTL KPM khususnya untuk membincangkan tindakan berkaitan bencana banjir yang akan memperincikan tindakan bahagian atau pihak berkaitan selain turut mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana untuk melaporkan status sekolah banjir, PPS sekolah yang dibuka dan bilangan mangsa warga KPM yang ditempatkan di PPS.
“Bilik gerakan ini beroperasi secara maya atau fizikal mengikut keperluan semasa.
“Semua JPN dan PPD juga mempunyai Bilik Gerakan Bencana masing-masing,” katanya.
Tambah Sharifuddin, KPM juga akan memperkasakan pasukan pengurus bencana peringkat JPN yang mana pasukan terbabit akan bertindak membantu menyalurkan maklumat dan data berkaitan bencana banjir dan mengurus hal ehwal berkaitan bencana dalam negeri masing-masing.
“Kita juga turut membina dan melatih pasukan sukarelawan pada pelbagai peringkat seperti guru dan seluruh warga KPM yang berdaftar sebagai ahli Persatuan Sukan dan Kebudayaan KPM (MESCA), guru insani Malaysia (GIM), pelajar Institut Pendidikan Guru dan pelajar Tingkatan 6 (sukarelawan MADANI),” ujarnya.
KPM juga akan membekalkan kerusi dan meja plastik kepada sekolah yang berisiko banjir, menyediakan kit sukarelawan untuk menjalankan kerja-kerja kesukarelawanan pasca banjir terutama aktiviti pembersihan institusi pendidikan yang terkesan banjir.
Ia juga menyediakan kit sumbangan banjir untuk bantuan kepada warga KPM yang terkesan banjir serta menyediakan perkhidmatan kaunseling oleh kaunselor pendidikan, Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) bagi membantu dari aspek kaunseling kepada mangsa banjir. -https://amiminerals.org/