MANCHESTER – Bekas pemain pertahanan Manchester United, Gary Neville menggesa pengurus interim pasukan itu, Ruud Van Nistelrooy melakukan perubahan selepas mengambil alih tugas daripada Erik Ten Hag yang dipecat kelmarin.
Nistelrooy yang kembali ke Old Trafford musim panas lalu sebagai pembantu pengurus dilantik sebagai mengemudi United ketika ini dan Neville percaya ini adalah peluang terbaik untuk beliau membuktikan kemampuan dan kualitinya.
“Beliau mampu untuk mengubah ‘set up’ pasukan berbanding sebelum ini. Beliau bersama Ten Hag sebelum ini dan memahami apa yang berlaku dalam pasukan.
“Saya sangat gembira untuk melihat sesuatu yang berbeza dalam tempoh beberapa hari ini untuk menghadapi perlawanan seterusnya selepas kini beliau mempunyai kuasa penuh membentuk pasukan yang diinginkannya.
“Bagaimanapun, apa yang penting ketika ini adalah kerja keras yang perlu dilakukan oleh para pemain kerana mereka berada dalam kesukaran dan perlu keluar dari situasi berkenaan.
“Ten Hag gagal untuk menghasilkan persembahan yang konsisten, namun semua pemain kini sudah menjadi pemain Nistelrooy dan apa yang saya tahu semua pemain menerimanya dan gembira ketika beliau tiba di Old Trafford, itu adalah kelebihannya ketika ini,” katanya.
Neville juga berpendapat, bekas rakan sepasukannya itu perlu mempertimbangkan taktikal untuk United bermain dengan tiga pemain pertahanan yang tidak pernah digunakan oleh Ten Hag sepanjang mengemudi pasukan itu.
“Selepas melihat aksi United sejak beberapa bulan lalu, saya fikir idea untuk bermain dengan tiga pemain pertahanan juga sesuai untuk mereka. Ini kerana mereka kekurangan gandingan bek tengah dan kombinasi empat pemain pertahanan yang lengkap.
“Jadi, berbanding mereka menggunakan aspek bertahan, saya fikir menyerang mampu menjadi senjata terbaik mereka, ia mungkin membuatkan para pemain menjadi lebih selesa dan memiliki cukup pemain ketika menyerang,” jelasnya. – AGENSI