MOSCOW – Seekor kucing paling gemuk di dunia mati beberapa minggu selepas dibawa ke sebuah pusat perlindungan haiwan di Perm, Russia untuk menurunkan berat badannya, lapor akhbar The Sun Uk semalam.
Kucing jantan diberi nama Kroshik itu memiliki berat hampir 17.23 kilogram, menyamai berat seorang kanak-kanak.
Ia mempunyai berat badan luar biasa kerana sering diberi makan biskut dan sup semasa menetap di ruang bawah tanah sebuah hospital.
Menurut pakar veterinar tempatan, Kroshik tiba-tiba jatuh sakit dan mati beberapa jam kemudian.
“Kroshik jatuh sakit dan mula tersedak. Kami bertindak segera dengan membawanya ke dalam bilik oksigen.
“Keadaannya bagaimanapun semakin merosot dan gagal diselamatkan,” kata pakar berkenaan.
Punca kematian Kroshik masih belum diumumkan tetapi doktor haiwan mengesahkan kucing oren itu mati akibat ‘ketumbuhan dalam limpa dan metastasis pada organ dalaman lain’. – AGENSI