GEORGE TOWN – Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang parah akibat terjatuh dari tingkap bilik utama di tingkat 12 sebuah kondominium mewah di Lebuh Tunku Kudin, Gelugor di sini Sabtu lalu dilaporkan sudah sedarkan diri dan mula memberi respon positif.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, mangsa yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di sini kini berada dalam keadaan stabil dan masih dalam pemerhatian selama 48 jam.
“Keadaan mangsa sudah sedar dan stabil. Mangsa masih diberikan oksigen dan pemantauan di wad ICU sebuah hospital swasta.
“Mangsa sudahpun buka mata, tidak bercakap kerana diberikan oksigen, tapi boleh beri tindak balas dengan ayahnya,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan kanak-kanak lelaki yang merupakan anak tunggal dilaporkan sudah stabil setelah dimasukkan ke ICU Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, mangsa dikatakan parah di seluruh anggota badan akibat terjatuh dari tingkap bilik utama di tingkat 12 kediaman keluarganya itu sebelum ditemui neneknya di aras tujuh bangunan berkenaan.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bermain di ruang tamu seorang diri manakala neneknya pula berada di dalam tandas. -https://amiminerals.org/