Tak perlu beratur panjang, Plus sedia 90 tandas sementara sempena Deepavali

TANDAS PLUS

Zahrul Hakim (tengah) bergambar bersama para pemenang hadiah sempena Kempen Sambutan Bulan Kebangsaan di Menara Korporat Persada PLUS Subang, hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/KOSMO!

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (Plus) telah menyediakan lebih 90 unit tandas tambahan sementara meliputi tandas mudah alih dan tandas kabin sebagai tambahan sempena cuti perayaan Deepavali ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, berkata, ia bertujuan memastikan pergerakan orang ramai dan trafik yang lebih lancar pada waktu puncak musim perayaan berbanding sebelum ini.

“Ia disediakan di lokasi hentian sebelah serta plaza tol terpilih antaranya di Hentian Sebelah Pedas Linggi (Kedua-dua Arah), Hentian Sebelah Tangkak (Arah Utara) dan Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Selatan).

“Turut terlibat, Hentian Sebelah Behrang (Kedua-dua Arah), Hentian Sebelah Gua Tempurung (Arah Selatan), Plaza Tol Simpang Pulai, Plaza Tol Changkat Jering serta di beberapa lokasi lain,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 di Menara Korporat Persada Plus Subang, di sini hari ini.

Pada masa sama beliau memaklumkan, Plus telah membelanjakan kira-kira RM37.5 juta untuk menaik taraf tandas di 60 lokasi sepanjang tahun lalu hingga tahun ini.

Penambahbaikan itu melibatkan kawasan rehat & rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol sepanjang lebuh raya kendaliannya.

Sementara itu, pengguna lebuh raya disaran untuk merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan jadual perjalanan secara digital menerusi MyPLUS-TTA di aplikasi Plus.

“Ia melibatkan perjalanan di semua lebuh raya kendalian Plus dan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di antara 30 Oktober hingga 4 November 2024 ini.

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi Plus, Pembantu Maya PUTRI, aplikasi X@plustrafik, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara,”tambahnya. – https://amiminerals.org/.