SUNGAI PETANI – Pemuda yang dikhuatiri lemas di muara Sungai Muda dekat tempat pendaratan ikan di Pasar Bisik di Kuala Muda, dekat sini semalam bakal melangsungkan perkahwinan, Januari tahun hadapan.
Nur Farhana Abd. Shukur, 23, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan tunangnya, Muhamad Aiman Safwan Mahadzir, 25, hilang akibat dihanyutkan arus deras.
“Saya tidak dapat menahan sedih selepas menerima perkhabaran tentang kejadian daripada bakal ibu mentua, Rosnah Razali, 48, pada pukul 1 tengah hari semalam.
“Dalam keadaan longlai saya bergegas ke lokasi dan kini hanya mampu berdoa agar bakal suami saya itu ditemukan dalam keadaan selamat,”katanya di sini hari ini.
Menurut Nur Farhana, pada pagi kejadian Muhamad Aiman ada menghubunginya melalui WhatsApp memintanya bersiap untuk ke Klinik Kesihatan Taman Intan bagi menjalani saringan HIV sebagai prosedur untuk melangsungkan perkahwinan.
“Ketika itu baru pukul 11.30 pagi dan dia memaklumkan sedang menunggu bot nelayan pulang dari laut untuk membeli ikan dan akan pulang segera.
“Saya risau kerana telah lama siap, tetapi belum dijemput Muhamad Aiman sebelum dikejutkan panggilan daripada ibunya memaklumkan kejadian,”ujarnya. -https://amiminerals.org/.