SHAH ALAM – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan mengkaji penggunaan teknologi realiti maya (VR) dalam menarik lebih ramai khususnya generasi muda meminati teater tradisional Mek Mulung.
Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, konsep persembahan atau elemen itu secara langsung mampu membawa pengalaman menonton Mek Mulung ke tahap lebih interaktif khususnya yang belum mengenali seni persembahan tersebut.
Menurutnya, pada simposium kali ini, pihaknya menerbitkan sebuah buku Mek Mulung hasil kajian dibuat JKKN dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
“Kita juga menyediakan VR untuk mereka yang memiliki buku tersebut dapat melihat pelakon Mek Mulung dalam teknologi berkenaan.
“Bagi elemen VR dalam pementasan Mek Mulung, kita perlukan kajian dan lihat apakah elemen-elemen teknologi boleh diterapkan dalam menarik lebih ramai lagi khalayak khususnya generasi muda meminati kesenian tradisional Mek Mulung,” katanya selepas perasmian Simposium Mek Mulung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam.
Simbolik perasmian simposium disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot dengan menyerahkan rotan bilah tujuh kepada Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib@ Sahibuddin.
Menurut Mohd. Amran, simposium itu salah satu usaha pembangunan dan pelestarian Mek Mulung yang telah tersenarai sebagai ‘Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Memerlukan Perlindungan
Segera’ di peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 15 Disember 2023.
Justeru, kata beliau, JKKN sedang berusaha menyemarakkan kesenian tersebut kepada pelbagai lapisan masyarakat sama ada dalam bentuk keilmuan atau siri-siri pementasan teater yang popular di Kedah itu.
“Apa yang dilakukan hari ini (semalam) adalah natijah kepada usaha kita menyemarakkan dan membangunkan kembali kesenian tradisional Mek Mulung.
“Terdapat tiga sesi simposium dan di akhirnya kita akan ada resolusi daripada pembentang kertas kerja dan semua peserta yang hadir untuk melihat apakah langkah seterusnya,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada JKKN akan menganjurkan pertandingan Mek Mulung, Mohd. Amran memaklumkan, pihaknya mungkin melihat dari segi tarian-tarian tertentu antaranya tarian bertabuh dalam teater kesenian tersebut.
“Lagipun, kami mempunyai perancangan dalam mewujudkan kumpulan pelapis dan cuba bawa pementasannya melalui kanak-kanak atau pelajar sekolah. Insya-Allah akan diterjemahkan dalam setahun atau dua tahun ini,” katanya.