Syarikat penerbangan India terima lebih 100 ancaman bom palsu

ancaman bom palsu

Sebuah pesawat Air India Express bersedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda , Bengaluru pada 4 September lalu. – AFP

NEW DELHI – Syarikat-syarikat penerbangan India menerima lebih 100 ancaman bom palsu dalam tempoh beberapa hari dalam kejadian yang memaksa pesawat menangguhkan penerbangan, menukar laluan atau melakukan pendaratan cemas, lapor saluran berita CNN.

Ancaman yang diterima menyasarkan kedua-dua penerbangan antarabangsa dan domestik. Ia mencetuskan kekecohan pada penerbangan jarak jauh menuju ke lokasi seperti New York. 

Walaupun satu tangkapan dibuat minggu lalu, ancaman itu masih berterusan yang kebiasaannya dihantar melalui e-mel dan siaran media sosial.

Bagi syarikat penerbangan tambang murah, IndiGo Airlines, pihaknya menerima hampir 30 ancaman bom dalam tempoh empat hari sejak Ahad lalu, demikian menurut kenyataan syarikat itu. 

Syarikat penerbangan India lain termasuk Akasa Airlines, SpiceJet dan Alliance Air turut terjejas.

“Sejak gelombang ancaman bom palsu bermula sekitar pertengahan bulan ini, kami menerima antara  150 hingga 160 ancaman berkaitan,” kata seorang pakar penerbangan, Sanjay Lazar.

Polis Mumbai berkata Rabu lalu bahawa pihaknya menahan seorang suspek bawah umur yang disyaki menyiarkan ancaman terhadap IndiGo Airlines di platform X. 

“Polis juga menyoal siasat remaja bawah umur kedua yang dipercayai memainkan peranan dalam perkara itu,” kata seorang jurucakap.

Namun, tiada tangkapan lanjut dibuat, manakala lebih banyak ancaman berlaku walaupun pihak berkuasa meningkatkan langkah keselamatan, mengancam pesalah dengan hukuman lebih berat, menenangkan syarikat penerbangan dan menyakinkan penumpang yang panik.

“Penumpang akan berasa takut, namun mereka yang perlu menggunakan pengangkutan udara akan tetap menaikinya. Apa akan berlaku jika kekacauan ditimbulkan semasa musim cuti Deepavali?” ujar Sanjay. – AGENSI