LONDON – Pengurus Brentford, Thomas Frank menghamburkan pujian buat para pemainnya yang berjaya mempamerkan kebangkitan untuk meraih kemenangan 4-3 ke atas Ipswich Town pada aksi di Stadium Gtech Community kelmarin.
Brentford ketinggalan dengan dua gol dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan sebelum melakukan kebangkitan dan meraih jaringan kemenangan menerusi Bryan Mbeumo pada minit ke-96 selepas meledak gol kedua peribadinya.
Dua lagi gol Brentford dihasilkan oleh jaringan sendiri pemain Ipswich, Harry Clark yang kemudiannya dilayangkan kad merah pada minit ke-69 serta Yoane Wissa sebelum mereka memanfaatkan kelebihan seorang pemain untuk menyempurnakan kebangkitan tersebut.
“Bola sepak adalah sebahagian daripada industri hiburan, jadi kami memberikan anda hiburan yang hebat sesuai dengan wang yang ada keluarkan untuk membeli tiket perlawanan. Sangat gembira apabila kami berjaya meraih kemenangan seperti ini.
“Saya fikir mereka lebih baik berbanding kami untuk tempoh 40 minit pertama apabila mendahului dengan 2-0 dan ia adalah tempoh yang buruk buat kami. Kami menunjukkan mentaliti yang luar biasa, personaliti yang hebat dan cukup luar biasa mempamerkan kebangkitan seperti ini,” jelasnya.
Dua gol yang disumbangkan oleh Mbeumo menyaksikan dia berjaya mengumpul lapan gol dalam sembilan perlawanan setakat ini sekali gus mengundang pujian Frank yang menganggap pemain itu berjaya mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ivan Toney. – AGENSI