MOSCOW – Seorang juruterbang dan tiga penumpang terbunuh selepas helikopter yang dinaiki mereka terhempas di sebuah hutan di Russia, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kementerian Kecemasan Russia berkata, helikopter ambulans jenis Mi-2 itu membawa seorang doktor dan dua anggota paramedik.
Ia terhempas di dalam hutan, kira-kira 643.7 kilometer ke luar Moscow.
“Pasukan penyelamat pada awalnya menemui tiga mayat di tempat kejadian, manakala mayat keempat ditemukan tidak lama kemudian,” tambah kementerian itu.
Gabenor Alexander Sokolov berkata di platform Telegram bahawa helikopter itu tidak membawa pesakit semasa kejadian.
Gambar yang disiarkan menunjukkan bangkai helikopter yang hangus dijilat api dan mengeluarkan asap tebal ke ruang udara.
Pihak berkuasa belum mendedahkan punca nahas tersebut. – AGENSI