Teater Asy Syura \’pecah panggung\’

lead 8

BARISAN pelakon dan kakitangan yang menjadi tulang belakang teater Asy Syura bergambar di Auditorium JKKN Perlis di Kangar malam kelmarin.

KANGAR – Pementasan karya agung teater Asy Syura berjaya menarik lebih 700 penonton yang memenuhi Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), di sini malam kelmarin.

Karya Sasterawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar, arahan serta olahan Mohd. Khairil Mohd. Salleh itu dapat dihayati dengan baik oleh penonton hasil persembahan hebat barisan pelakon Fendy Bakry, Hairi Safwan, Yaakob Abd. Aziz serta anak jati Perlis.

Pengarah Bahagian Bimbi­ngan Seni Budaya JKKN, Salmiyah Ahmad berkata, pementasan teater Asy Syura selama dua hari bermula kelmarin itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi kelolaan Majlis Kebudayaan Negeri Perlis dengan kerjasama JKKN Perlis.

Katanya, Program Karya Agung merupakan inisiatif Belanjawan 2024 yang diperkenalkan kerajaan bagi mengangkat karya-karya yang diiktiraf di pering­kat negeri dan negara.

“Ia bertujuan untuk menyema­rak dan mengangkat karya seni, sastera, teater warisan dan karya agung tempatan, selain menyema­rak dan mengembangkan seni teater dalam kalangan gene­rasi muda,” katanya ketika ditemui selepas pementasan.

mugshot Salmiyah Ahmad
SALMIYAH

Menurut Salmiyah, JKKN akan meneruskan usaha untuk menyemarakkan lagi teater dan persembahan kebudayaan lain di seluruh negara.

“Kita sedang berusaha untuk melahirkan generasi baharu yang menghargai dan mencintai seni budaya kita,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah JKKN Perlis, Norazlin Nordin memberitahu, sambutan yang diterima daripada penduduk Perlis dan Kedah adalah di luar jangkaan dengan bilangan penonton yang hadir melebihi kapasiti auditorium.

“Alhamdulillah, kami sediakan kerusi tambahan untuk penonton, malah ada yang sanggup duduk di tangga. Sambutan pementasan teater Asy Syura di sini boleh saya kata pecah panggung,” katanya.

Mugshotnorazlin
NORAZLIN

Penonton turut memberikan maklum balas yang baik de­ngan mereka dapat memahami dan menghayati lakonan yang dipersembahkan barisan pelakon hebat.

“Kita lihat ramai yang datang adalah orang muda. Ada ibu bapa yang bawa anak kecil dan remaja untuk menonton teater ini. Pementasan teater seperti ini mampu memupuk minat seni teater dalam kalangan orang muda,” ujarnya.

Jelas Norazlin, matlamat utama penganjuran pementasan teater adalah untuk mengangkat dan memperkenalkan karya agung karya sasterawan negara.

“Dengan mementaskan Asy Syura dalam bentuk teater, ia memberikan penghormatan kepada pengarang dan karya beliau di samping memelihara warisan sastera bernilai tinggi untuk ge­nerasi masa depan,” katanya.

Berkongsi mengenai karya agung itu, katanya, ia berkonsepkan rea­lisme dengan mengambil intipati surah Asy Syura yang berkisar tentang perbalahan adik-beradik mengenai tanah pusaka peninggalan arwah bapa. -https://amiminerals.org/