PETALING JAYA – Waris serta ahli keluarga tragedi pembunuhan beramai-ramai Tak Bai, Narathiwat di Thailand pada 20 tahun lalu tetap akan menuntut keadilan meski pun pelakunya terlepas hukuman selepas tempoh luput bagi pendakwaan di mahkamah tamat kelmarin.
Menurut Presiden The Patani, Artef Sokho, penduduk Patani di Narathiwat menolak ‘kedamaian’ palsu yang diberikan oleh kerajaan Thailand sejak kejadian dua dekad lalu yang mengorbankan 85 mangsa.
“Sebenarnya kes Tak Bai ini agak sensitif dan bukan senang untuk waris mendapatkan keadilan. Tragedi Tak Bai ini memang tidak sampai ke tahap genosid, ia juga bukan kesalahan atau kesilapan peribadi pegawai tentera atau kerajaan.
“Tragedi ini patut dikira jenayah negara jadi kita fikir perkara ini kita patut perjuangkan (keadilan buat mangsa), di mana sistem dalaman (undang-undang Thailand) tidak boleh menjatuhkan hukuman terhadap pelaku. Mungkin kita akan angkat isu ini ke peringkat antarabangsa,”katanya dalam temu bual eksklusif bersama Kosmo! Ahad kelmarin.
Memetik laporan AFP kelmarin, kesemua tujuh tertuduh dalam kes pembunuhan beramai-ramai ‘Tak Bai’ di Thailand termasuk bekas ahli Parlimen parti pemerintah, terlepas daripada hukuman apabila tempoh luput 20 tahun bagi pendakwaan di mahkamah tamat kelmarin.
Berdasarkan undang-undang Thailand, kegagalan menghadapkan mereka di mahkamah di Narathiwat menjelang tarikh luput berkenaan bermakna mereka langsung tidak akan dihadapkan ke muka pengadilan dan terselamat daripada hukuman.
Aktivis serta badan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi ‘suara’ waris tragedi Tak Bai berkata, selepas 19 tahun baharulah mangsa-mangsa yang terkesan berani untuk bersuara dengan membawa kes melalui proses mahkamah.
“Ramai mempersoalkan tindakan waris dan mangsa kenapa selepas 19 tahun, sebenarnya dari awal lagi kami pernah mencari mereka waris-waris ini dan kita dihalau.
“Mereka tidak mahu dikaitkan kerana selalu menjadi mangsa ugutan oleh ejen-ejen pihak tertentu. Untuk melakukan kenduri arwah pun mereka trauma namun kini mereka sudah ada keberanian untuk bersuara,”katanya.
Jelasnya, ia susulan golongan orang tua terdahulu yang teraniaya telah meninggal dunia dan anak mereka yang masih kecil semasa kejadian, kini telah dewasa inginkan keadilan.
“Mereka ingin tahu siapa yang mahu bunuh bapa mereka selepas 20 tahun. Generasi baharu hari ini membuatkan perjuangan ini kuat.
“The Patani menyokong setiap apa-apa tindakan untuk mendapatkan keadilan. Tragedi ini bukan isu tempatan sahaja tetapi nasional. Keadilan di Thailand ini terhad jadi bukan senang untuk kita sabitkan mereka dengan jenayah dilakukan,”katanya.
Katanya, selepas ini pihaknya akan teruskan isu keadilan dalam tragedi Tak Bai antaranya dengan melobi mana-mana negara yang menjadi ahli Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Negara ini akan menjadi wakil untuk membuat aduan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Perkara ini kita akan usahakan,”katanya.
Mengulas mengenai permohonan maaf Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra pada Khamis lalu, Artef menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak ikhlas berikutan beberapa kali Perdana Menteri Thailand sama ada pentadbiran Thaksin Shinawatra atau Jeneral Surayud Chulanont, serta Yingluck Shinawatra melakukan perkara sama sebelum ini.
“Pendapat saya permohonan maaf itu dilihat bertentangan dengan usaha serta tindakan yang ‘diambil’ kerajaan dalam isu keadilan kepada tragedi Tak Bai ini,”tegasnya.
The Patani adalah merupakan organisasi yang diasaskan oleh aktivis-aktivis terdiri mahasiswa di universiti negara Gajah Putih itu pada 2019 dengan tiga nilai utama iaitu demokrasi patriotik, perjuangan tanpa senjata dan gerakan massa. -https://amiminerals.org/