NEW DELHI – Seorang remaja ditahan di barat New Delhi, India selepas membunuh teman wanitanya kerana mangsa enggan menggugurkan kandungan, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Menurut polis tempatan, mangsa yang dikenali sebagai Soni,19, kerap memuat naik gambar dan klip video dia bersama kekasihnya bernama Saleem, di media sosial.
“Mangsa dilaporkan hamil tujuh bulan dan berkeras mahu berkahwin dengan suspek tetapi remaja lelaki itu belum bersedia dan memaksa mangsa menggugurkan kandungan,” kata polis.
Pasangan tersebut dilaporkan sering bergaduh tentang perkara tersebut.
“Pada Isnin lalu, mangsa pergi menemui Saleem selepas mengambil beberapa barang dari rumahnya.
“Saleem dan dua pembantunya membawa Soni ke Rohtak Haryana di mana dia dibunuh dan mayatnya dikebumikan,” tambah polis.
Saleem dan seorang pembantunya telah ditahan, manakala seorang lagi suspek melarikan diri.
Usaha untuk mengesan suspek ketiga sedang dilakukan, kata polis. – AGENSI