Kredit : PTPTN Kredit : PTPTN Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasiona (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berucap pada majlis Penutup Bulanan Menabung Simpanan SSPN (BMS) 2024 di pusat beli belah Paradigm Mall hari ini.
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Iteenews) –Sebanyak RM19bilion jumlah deposit daripada produk Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) diterima dengan bilangan akaun berjumlah 6.61 juta setakat 30 Sept lepas.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata Simpan SSPN akan terus kekal sebagai produk yang berdaya saing dan menjadi tabung pendidikan utama pilihan ibu bapa bagi tujuan pendidikan tinggi.
“Dalam tempoh dua dekad ini dengan sokongan padu daripada pelanggan, saya optimis PTPTN akan dapat mencapai sasaran deposit BMS 2024 sebanyak RM220 juta.
“Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, pelepasan cukai individu terhadap simpanan bersih dalam Simpan SSPN dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi hingga 2027,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 hari ini.
Norliza berkata usaha berkenaan mencerminkan sokongan kerajaan dalam menggalakkan penabungan dari awal usia untuk pendidikan tinggi dan inisiatif itu juga sewajarnya menjadi peluang keemasan kepada golongan ibu bapa untuk menyimpan melalui Simpan SSPN.
BMS merupakan program utama PTPTN dalam membudayakan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.
Tahun ini ialah yang ketujuh penganjurannya sejak 2018 dan iasatu usaha untuk menyebarluaskan manfaat Simpan SSPN kepada masyarakat Malaysia bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Okt setiap tahun.
“Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan hingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful terhadap pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan hingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan.
“Bersempena dengan 20 tahun Simpan SSPN, buat julung kalinya, PTPTN melancarkan lagu Simpan SSPN berjudul Terbang Tinggi yang melambangkan komitmen PTPTN dalam usaha menyuburkan amalan penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia,” menurut kenyataan itu.