MADRID – Real Madrid kini mempunyai peluang terbaik untuk menebus kekalahan mereka kepada Barcelona dalam pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan menjelang aksi El Clasico di Santiago Bernabeu awal pagi esok.
Biarpun kekalahan 1-2 kepada Barcelona itu berlaku pada aksi pramusim dua bulan lalu tetapi keputusan itu tetap sukar diterima oleh peminat-peminat fanatik Los Blancos yang sebelum ini menang tiga kali dalam perlawanan kompetitif.
Justeru, kemenangan 5-2 ke atas Borussia Dortmund selepas ketinggalan dua gol terlebih dahulu dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) baru-baru ini menjadi tonik terbaik buat mereka untuk menewaskan Barcelona.
Bintang Perancis, Kylian Mbappe yang menjadi ‘senjata’ baharu Real musim ini akan merasai pengalaman pertamanya bermain aksi El Clasico biarpun sudah beberapa kali menentang Barcelona bersama Paris Saint-Germain (PSG) sebelum ini.
Berdasarkan statistik, Mbappe, 25, pernah menjaringkan enam gol dengan mencatat dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan daripada empat perlawanan menentang Barcelona.
Ia secara tidak langsung membakar semangat penyerang prolifik itu untuk meneruskan kecemerlangannya merobek gawang Barcelona tetapi kali ini bersama jersi putih keramat Real.
Pengendali Real, Carlo Ancelotti juga boleh mengharapkan ketajaman Vinicius Junior yang meledak hatrik ketika menewaskan Dortmund di kala mereka akan turun tanpa khidmat Rodrygo dan penjaga gol, Thibaut Courtois kerana masalah kecederaan.
“Kami akan berikan aksi terbaik di hadapan para penyokong kami di stadium sendiri. Kami akan berjuang untuk meraih kemenangan kerana ia amat bermakna,”kata Vinicius. – AGENSI