Pelajar Malaysia sembunyi bayi dalam beg

pelajar malaysia bunuh bayi

Jia Xin Teo nekad membunuh bayi kerana takut menjejaskan pengajian dan diketahui oleh keluarga dan rakan-rakan. – Polis West Midlands

LONDON – Seorang pelajar Malaysia di Britain disabitkan atas kesalahan membunuh selepas memasukkan bayinya yang baru lahir ke dalam kotak bijirin dan menyembunyikan mayat berkenaan di  dalam beg pakaian, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam. 

Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS) berkata, tertuduh bernama Jia Xin Teo, 22, mendakwa bahawa dia mendengar  ‘suara menyuruhnya membunuh atau mencederakan bayi tersebut’ tetapi alasan tertuduh ditolak oleh juri Mahkamah Mahkota Warwick. 

“Tertuduh tidak memberitahu polis di mana bayi itu disembunyikan sehingga dua hari berlalu. 

“Bayi tersebut masih hidup selepas dilahirkan tetapi dia nekad meletakkannya ke dalam kotak bijirin dengan mengetahui bahawa perbuatan tersebut akan membunuh mangsa.

“Pelajar dari Universiti Coventry itu menyembunyikan kehamilannya daripada semua orang yang dikenali,” jelas CPS.

Menurut Polis West Midlands, bayi itu dilahirkan dalam tempoh matang pada 4 Mac lalu sebelum diletakkan ke dalam beg plastik lalu disembunyikan di dalam beg pakaian. 

“Polis dikerahkan ke alamatnya dua hari kemudian selepas tertuduh tiba di hospital dengan tanda-tanda telah melahirkan bayi. 

“Xin Teo pada mulanya menafikan dakwaan tersebut tetapi mengaku telah melahirkan seorang bayi. Dia takut sekiranya keluarga dan rakan-rakan di Malaysia mengetahui perkara tersebut kerana ia akan menjejaskan pengajiannya,” tambah polis. 

Ahli CPS, James Leslie Francis berkata, Xin Teo tiba di United Kingdom (UK) dengan mengetahui bahawa dia akan melahirkan bayi dan berpeluang untuk mendapatkan bantuan. 

“Tetapi dia memilih untuk merahsiakan kehamilannya dan melahirkan bayi seorang diri. 

“Dia juga enggan pergi ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan selepas bersalin, selain berbohong kepada rakan-rakan, doktor dan polis supaya tiada sesiapa menemui bayinya,” tambah Francis. 

Tertuduh akan dijatuhkan hukuman pada tarikh yang akan ditetapkan. – AGENSI