Malaysia Sebagai Negara Rakan BRICS Berpeluang Tingkatkan Perdagangan, Hubungan Dua Hala – Fahmi

1d893e6c8b272ccb596d3ed985bd466b671b5f96a1b93PUTRAJAYA, 25 Okt — Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika menghadiri sidang media mingguan Menteri Komunikasi di Kementerian Komunikasi, hari ini.–fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 25 Okt (Iteenews) — Pemilihansebagai antara negara rakan dalam BRICS membuka peluang untuk Malaysia meningkatkan perdagangan dan hubungan dua hala dengan kalangan negara anggota blok itu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata negara juga menyambut baik penerimaan BRICS terhadap Malaysia sebagai antara negara rakan rasmi BRICS.

“…kita tidak bincang secara khusus (dalam mesyuarat Kabinet). Ini adalah pemakluman awal dan belum lagi dibincangkan secara mendalam. Tapi semestinya kita mengalu-alukan penerimaan Malaysia sebagai sebahagian daripada negara rakan dalam konteks BRICS,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini, pada Jumaat.

Semalam Iteenews melaporkan Malaysia kini diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi dalam BRICS, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global.

Memetik kemas kini oleh @BRICSInfo menerusi platform media sosial X, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu kepada pakatan itu sebagai negara rakan, walaupun belum lagi sebagai ahli penuh.

Selain Malaysia, 12 negara lain adalah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Sebagai rekod, pada 28 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia telah mengemukakan permohonan kepada Rusia untuk menyertai pertubuhan antara kerajaan BRICS.

Rusia kini mempengerusikan blok itu, yang turut merangkumi Brazil, India, China dan Afrika Selatan.

Pada 18 Jun lepas, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS semasa perbincangan dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.