SEBULAN dua ini saya bukan sahaja kehilangan rakan baik, tetapi juga pemikir yang bukan kaleng-kaleng.
Allahyarham Rosland Mohd. Ariff, 67, mengetuai sebuah badan bukan kerajaan amat cekap menggasak pihak kewangan menyelesaikan kes-kes dan isu muflis dihadapi golongan marhaen.
Demikian pula pemergian ke rahmatullah penulis dan pemikir hebat hal-hal bangsa dan agama kita, Allahyarham Che Ibrahim Che Idris (Che Heng), 71.
Kedua-dua arwah meskipun dalam bidang berbeza, cukup ligat aksi dan buah fikirnya.
Nekadnya Rosland sehingga sanggup bertunggu tangga di ofis-ofis perbankan sehingga acap kali berjaya menyelamatkan puluhan, malah ratusan rumah dan hartanah nyaris dilelong atau digadai.
Bernas dan realistiknya buah fikir Che Heng sehingga jika dipraktikkan oleh pihak berwajib, nescaya akan terselamatlah bangsa kita daripada melukut di tepi gantang di kemudian hari.
Realiti kehidupan hari ini sememangnya menuntut kreativiti, kesungguhan dan keberanian untuk menjayakannya. Banyak benda melintas depan mata yang perlu diperbetulkan yang biasa, dibiasakan yang betul.
Kerajaan hari ini pun ke arah itu dalam setiap tindak tanduknya kini.
Begitulah jika setiap ketua isi rumah berfikir sejenak sebelum bertindak ke atas suatu perkara, halangan ekonomi di depan akan bisa ditempuh dan dilepasi.
Kita perlukan pemikir-pemikir yang baharu dari kalangan orang muda yang sanggup menjadi mata, telinga masyarakat dan kerajaan.
Cuma, akhirnya keberanian seorang pemikir bergantung soal pokoknya – sama ada dilakukan kerana mengenang budi atau ‘terhutang budi’? Jika ‘terhutang budi’ menjadi amalan pemikir, akhirnya yang muncul hanyalah kebatilan.
Lihatlah di depan mata. Kita ada nelayan, petani dan pesawahnya. Kalangan majoritinya Melayu. Untuk kelompok ini, semuanya kerajaan beri perhatian.
Pesawah dengan subsidinya, petani dengan insentifnya. Untuk nelayan, kerajaan beri keistimewaan selain peruntukan RM300 setiap bulan. Nelayan ini disebut nelayan Melayu. Tetapi berapa kerat sahajalah nelayan Melayu yang aktiviti pulangannya lumayan.
Jika dalam industri tangkapan ikan laut dalam, yang terlibat 2,200 kapal, namun hanya 20 buah kapal laut diusahakan nelayan Melayu, ke mana pergi yang Melayunya?
Anak nelayan, keturunan nelayan, tetapi tidak ada aset yang baik untuk menangkap ikan di laut dalam!
Melayu ada segalanya – agensi kerajaannya dan jabatan perikanan yang beri peruntukan beli bot, kapal baharu, baiki jeti pendaratan dan banyak lagi.
Tetapi sekali lagi Melayu masih tak dapat apa. Mana pegawainya yang membela nasib nelayan Melayu? Kelihatan tak nampak, tidak ada.
Tanah air sendiri, lautnya sendiri. Makan ikan itu makan sendiri, tetapi tiada keupayaan dalam industri perikanan yang lumayan hasilnya.
Dengan hentakan cabaran semasa berkaitan isu ekonomi dan sosial berserta teknologi kecergasan buatan (AI), kita perlukan barisan pemikir yang tahu dan sedar untuk bezakan mana satu rasuah, hadiah, anugerah atau rezeki.
Bahkan, menjadi seorang pemikir yang tidak sesekali menyembunyikan kebenaran semasa dalam perjawatannya. Bukan juga yang konon segalanya wallahi wabilahi watallahi sebaik sahaja melepaskan jawatan baru berani mahu bercakap benar.
Berbicara sampai ‘gajah pun boleh terbang’. Berapa ramai wajah sebegini rupa? Al-fatihah buat Allahyarham Rosland dan Che Heng!