EPL: Arsenal laung amaran buat Liverpool

Gabriel Martinelli

MARTINELLI (tengah) diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan menewaskan Shakhtar kelmarin. – ARSENAL FC

LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memberi amaran buat Liverpool menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini biarpun mengakui skuadnya kelihatan lesu selepas kemenangan tipis 1-0 ke atas Shakhtar Donetsk dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kelmarin.

Mengulas mengenai prestasi pasukannya, Arteta tidak menafikan bahawa jadual padat dan kembalinya beberapa pemain daripada tugasan antarabangsa memberi impak terhadap corak permainan mereka.

“Kami bermain hanya beberapa malam lalu dan ada pemain yang baru pulang dari Brazil serta beberapa negara lain.

“Sebab itu saya menjangkakan sedikit penurunan prestasi. Tetapi dengan usaha keras yang kami pamerkan, walaupun tidak menghasilkan lebih banyak gol, saya yakin kami akan kembali cemerlang,”kata Arteta.

Namun, Arteta menegaskan bahawa pasukannya akan kembali lebih segar dan bersedia sepenuhnya untuk pertembungan menentang Liverpool di Stadium Emirates awal pagi Isnin ini.

“Percayalah, apabila tiba hari Ahad (awal pagi Isnin), kami akan ‘terbang’ tinggi,”ujar Arteta dengan penuh keyakinan.

Biarpun tanpa William Saliba yang dijatuhkan penggantungan satu perlawanan kerana kad merah menentang Bournemouth minggu lalu tetapi kem Arsenal kembali mendapat tonik terbaik apabila bakal kembali diperkuatkan oleh Bukayo Saka.

Biarpun mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen UCL musim ini, The Gunners terpaksa bekerja keras untuk mengatasi Shakhtar 1-0 apabila meraih gol menerusi jaringan sendiri selain kegagalan Leandro Trossard menyudahkan sepakan penalti.

Gol tunggal Arsenal datang daripada kesilapan penjaga gol Shakhtar, Dmytro Riznyk yang tanpa sengaja menolak bola ke gawang sendiri selepas rembatan Gabriel Martinelli terkena tiang pada minit ke-29. – AGENSI