Wanita sudah mati 20 tahun mohon jadi petugas pilihan raya

hantu pegawai undi

Gambar yang dirakam oleh Apendi menunjukkan sebatang pen berdiri tegak tanpa ada sesiapa yang memegangnya. – Republika

JAKARTA  –  Seorang petugas pilihan raya ketua daerah di Majalengka, wilayah Jawa Barat mengalami detik seram apabila dia dikunjungi wanita misteri yang mahu mendaftar sebagai pengawas pusat undian (PTPS), lapor laman berita Fajar Cirebon kelmarin.

Dalam kejadian pada 10 Oktober lalu, seorang gadis mempunyai paras rupa menawan dan berselendang  tiba di pusat gerakan Sekretariat Panwascam Sukahaji.

Dia tiba menjelang waktu maghrib sambil memberitahu ingin mendaftar sebagai PTPS.

Petugas bernama Apendi kemudian meminta wanita tersebut mengisi borang sambil duduk di atas kerusi hijau di hadapannya.

“Apendi merakam gambar wanita itu untuk tujuan dokumentasi. Gambar itu kemudian dihantar kepada kumpulan sembang WhatsApp sekretariat,” kata seorang pegawai, Muhamad Ibin Nugraha.

Tambah Muhamad Ibin, mereka pelik apabila melihat hanya terdapat gambar sebatang pen dalam keadaan berdiri tegak di atas kertas borang, seolah-olah dipegang oleh seseorang.

Namun, kelibat wanita misteri itu tidak kelihatan dalam gambar tersebut.

“Padahal wanita itu berada di hadapan petugas kami sambil mendaftar,” katanya.

Hairan  dengan keadaan itu, sekretariat meminta seorang pegawai kampung untuk menyemak identiti wanita berkenaan.

Mereka sekali lagi terkejut apabila mendapati bahawa wanita tersebut sudah meninggal dunia 20 tahun lalu.

“Kami sangat terkejut apabila mendapat tahu bahawa wanita itu sudah meninggal dunia,” kata Muhamad Ibin.

Sementara itu, salah seorang ahli sekretariat dengan segera menghubungi Apendi sejurus melihat gambar pen berdiri tersebut.

Ketika menjawab panggilan, wanita misteri itu dengan segera beredar dari pejabat tersebut dan menghilangkan diri. – AGENSI