KUALA LUMPUR, 24 Okt (Iteenews) — Inflasi Malaysia diunjurkan pada 2.3 peratus tahun ini dan 2.9 peratus pada 2025 berbanding unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu antara 2 peratus dan 3.5 peratus bagi 2024, kata Ketua Ahli Ekonomi Allianz SE Ludovic Subran.
Beliau tidak mengunjurkan julat inflasi yang lebih tinggi, namun mengakui bahawa langkah menarik balik subsidi dan meningkatkan cukai nilai ditambah boleh mewujudkan kesan inflasi semula jadi, yang memberi kesan asas sekali.
“Oleh itu, kami menjangka inflasi di Malaysia akan mencapai 2.9 peratus pada 2025 iaitu di bawah tiga peratus. Ini menunjukkan bahawa BNM tidak mungkin menurunkan kadar faedah dalam unjuran kami untuk 18 bulan akan datang.
“Malah, ini mungkin baik untuk mengawal ringgit, yang selama ini telah menjadi mata wang yang bertindak balas dengan agak kuat ke seluruh dunia,” katanya pada program Unjuran Ekonomi Asia Pasifik 2024 di sini hari ini.
Subran mengunjurkan defisit fiskal Malaysia berada pada 4.0 peratus berbanding 3.8 peratus seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2025.
“Melihat kepada angkanya, saya berpendapat ia munasabah. Bagaimanapun, isu utama adalah amat sukar untuk mendapatkan subsidi pada 2025, subsidi pengangkutan.
“Walaupun anda melakukannya, bagi saya, antara aspek yang mengejutkan adalah subsidi telah berjumlah 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2024. Ia pernah berada pada 1.8 peratus daripada KDNK pada suku kedua 2019… subsidi RON95,” katanya.
Beliau berkata di negara lain yang telah melaksanakan pendekatan yang sama, kerajaan lazimnya perlu meningkatkan program pemindahan sosial.
“Oleh itu, ketika anda menghentikan subsidi, anda memperkenalkan pindahan tunai bersyarat dan menyediakan sokongan kepada kawasan luar bandar dan rakyat kurang berkemampuan supaya mereka dapat bertahan.