BESUT – Penduduk Kampung Padang Buluh di sini, gempar dengan penemuan seekor buaya tembaga seberat 80 kilogram (kg) yang dipercayai tersesat masuk ke sebuah kebun getah, malam tadi.
Buaya sepanjang 2.7 meter itu ditemui berada di kebun getah berkenaan pada pukul 10 malam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, seramai lapan anggota agensi tersebut bergegas ke lokasi terbabit sebaik menerima maklumat penemuan haiwan reptilia tersebut.
“Buaya tembaga ini dipercayai berasal dari sebuah tasik berhampiran sebelum tersesat masuk ke dalam kebun getah berkenaan. Ia tangkapan pertama melibatkan spesies tersebut di Terengganu pada tahun ini,”katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Kean Seong berkata, buaya tembaga terbabit dilepaskan ke habitat asalnya pada pukul 12 tengah hari tadi dan meminta orang ramai tidak memuat naik gambar atau videonya di laman sosial kerana dibimbangi menarik perhatian pemburu haram. – https://amiminerals.org/