Selepas anak hidap kanser, suami pula ‘pergi’

Ibu tunggal tanggung tiga anak seorang hidap kanser

Nor Hayati bersama anaknya, Norhijanah ketika ditemui semasa menginap di rumah NCSM-Caritas, Ipoh baru-baru ini.

IPOH – Membesarkan tiga orang anak termasuk seorang daripada mereka yang sedang berjuang melawan kanser merupakan cabaran besar yang terpaksa dilalui oleh seorang ibu tunggal.

Nor Hayati Mohd. Yusof, 43, perlu menjaga tiga anaknya yang berusia 9, 15 dan 17 tahun sejak kematian suaminya pada perte­ngahan tahun 2021 akibat sera­ngan jantung.

Wanita tersebut juga ba­nyak menghabiskan masa dengan menemani anak bongsunya, Norhijanah Abdul Malek yang menghidap leukemia.

Katanya, Norhijanah kerap menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

“Anak saya mula dimasukkan ke hospital pada 2 Julai 2021 dan disahkan menghidap kanser. Hampir sebulan duduk di hospital. Selepas itu pada hujung Ogos tahun yang sama, suami saya pula meninggal dunia.

“Selepas itu kami tiada tempat bergantung,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Nor Hayati berkata, anak tersebut sering mengadu sakit dan keletihan selain sukar untuk tidur terutama selepas mendapatkan rawatan di hospital.

Katanya, Norhijanah sepatutnya berada di tahun tiga, namun sepanjang tahun ini masih belum dapat menghadirkan diri ke sekolah kerana terpaksa menjalani rawatan.

“Dia sering rindukan arwah ayahnya. Baru-baru ini kami hendak melawat kubur, namun tidak boleh kerana jalan menuju ke tanah perkuburan terhalang akibat pokok tumbang.

“Apapun saya harap dia cepat sembuh supaya dapat kembali bersekolah,” ujarnya.

Tambahnya, mereka kini me­numpang di rumah NCSM-Caritas yang disediakan secara percuma untuk pesakit kanser berpendapatan rendah.

“Saya hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan meraih pendapatan sekitar RM70 sehari dengan menjual laksa serta air batu campur di Batu Kurau, Pe­rak,” ujarnya.

Orang ramai yang mahu menyumbang bantuan boleh me­nyalurkannya melalui nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0821-8411-0001-6743 atas nama Nor Hayati Mohd. Yusof atau meng­hubunginya di talian 011-1621 7079.