JAKARTA – Seorang lelaki cedera parah selepas diserang seekor harimau ketika mencari kulit kayu manis di sebuah ladang di Indonesia, lapor saluran Berita Satu semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 3 pagi (waktu tempatan) di Kerinci, wilayah Jambi.
Menurut polis, mangsa dikenali sebagai Residi, 30, bersama seorang rakannya bermalam di kawasan tersebut selepas mencari hasil hutan.
“Tidak lama kemudian, khemah mereka diserang oleh seekor harimau Sumatera sehingga terkena pada bahagian kepala mangsa,” kata polis.
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan luka dan darah yang memancut keluar dari kepala Residi.
“Mangsa segera dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut,” tambahnya. – AGENSI