PETALING JAYA – Hadiah wang tunai hampir RM60,000 menanti pemenang Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Tanjung Harapan, Klang pada Sabtu ini.
Pertandingan tersebut anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 untuk juara, naib juara menerima RM4,000 dan ketiga RM2,000.
Bagi pemenang keempat menerima RM1,000, kelima (RM800), keenam hingga ke-10 (RM500) dan ke-11 hingga 20 (RM400), manakala ke-21 hingga 150 menerima RM150 serta pelbagai hadiah lagi kepada pemenang untuk tempat seterusnya.
Jurucakap pertandingan, Md. Zali Kasran berkata, idea penganjuran acara itu dicetuskan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian & Perladangan, Keterjaminan Makanan & Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim.
Katanya, acara ini akan bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Acara ini akan memberi kelebihan kepada pemancing berasal dari Selangor dan pemastautin tetap di negeri ini.
“Ini berikutan, tambahan hadiah sebanyak RM6,000 akan diberikan kepada rakyat negeri Selangor jika mereka berjaya menduduki tempat pertama hingga ketiga.
“Tambahan hadiah ialah RM3,000 untuk juara, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000. Hadiah ini adalah sebagai galakan kepada rakyat Selangor keluar beriadah,”katanya.
Yuran penyertaan RM90 untuk satu joran, manakala bagi peserta kelainan upaya (OKU) adalah sebanyak RM60.
Pertanyaan dan pendaftaran boleh berhubung dengan penganjur di talian 012-2141401 atau 012-6823479. – https://amiminerals.org/