Remaja membesar atas kerusi roda

Remaja membesar atas kerusi roda

Khairul Fitri terpaksa menggunakan kerusi roda akibat komplikasi distrofi otot.

TEMERLOH – Seorang remaja, Khairul Fitri Martu dari Kampung Mambang Berulang di Mentakab di sini, terpaksa membesar di atas kerusi roda akibat masalah saraf yang dikenali Duchene Muscular Dystrophy (DMD) sejak berusia 10 tahun.

Khairul Fitri, 19, anak ketiga daripada empat beradik itu tidak pernah menduga nasib malang­nya tersurat begitu drastik kera­na sebelum itu dia sangat aktif dan cergas seperti kanak-kanak lain seusianya.

Menurut ibunya, Nurul Naha Hussien, 59, tahap kesihatan Khairul Fitri merosot dengan cepat dan pergerakan terjejas teruk ketika dia berusia 10 tahun.

“Tiada tanda-tanda awal menghadapi masalah saraf sehinggalah pada satu pagi dia menghadapi kesukaran untuk menguruskan diri ketika mahu ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Mentakab.

“Sejak itu tahap kesihatan Khairul Fitri semakin merosot. Tangan dan kakinya semakin membengkok serta perlu berada di atas kerusi roda untuk berge­rak malah segala urusan dibantu ahli keluarga.

“Aktiviti hariannya berubah 360 darjah kerana masanya ba­nyak dihabiskan di kerusi roda. Dia tidak mampu lagi bergerak aktif malah urusan harian se­perti makan minum, mandi perlu dibantu,” katanya di sini baru-baru ini.

Distrofi otot adalah sekumpulan penyakit yang membuatkan otot menjadi lemah dan kurang fleksibel dari semasa ke semasa.

Nurul Naha memberitahu, jiwa anaknya itu tetap kental apabila terus berkerusi roda bersekolah di SK Bandar Mentakab sehingga darjah enam.

Bagaimanapun, Khairul Fitri yang menyambung pelajaran ke SMK Bukit Cermin, Mentakab terpaksa berhenti sekolah di tingkatan empat kerana bapa­nya, Martu Marijo, 65, tidak dapat menguruskan persekolahannya kerana terpaksa bekerja.

Sementara itu, Martu berkata, ketika ini anggota tangan dan kaki anaknya itu menjadi lumpuh kecuali beberapa jarinya masih boleh berfungsi.

“Berikutan itu, anak saya sangat memerlukan kerusi roda berjentera untuk kemudahannya bergerak sendiri.

“Kami tidak mampu membelinya kerana harga lebih RM10,000. Saya hanya bekerja kampung tanpa pendapatan tetap. Jadi kami merayu sumba­ngan supaya Khairul Fitri boleh bergerak lebih bebas dalam rumah,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Martu di talian 013-424 9276 atau me­nyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 156020385551.