Budak hilang waktu maghrib ditemukan dekat kubur

budak disorok hantu

Kanak-kanak tersebut ditemui di tepi sungai dekat kawasan perkuburan. – Instagram

JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Tegal, wilayah Jawa Tengah digemparkan dengan kejadian seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang hilang secara misteri sebelum dia ditemui berhampiran kawasan perkuburan.

Laman berita iNews Jateng melaporkan, kanak-kanak tersebut pada mulanya mengikuti ibunya pergi ke rumah seorang jiran pada Sabtu lalu ketika waktu maghrib.

Ketika ibunya sedang bersembang di ruang lain, kanak-kanak itu tidur di ruang tamu berseorangan semasa cuaca hujan.

Namun, ketika si ibu memeriksa keadaan anaknya, dia cemas apabila mendapati kanak-kanak itu sudah tiada.

Wanita itu kemudian meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari anaknya sebelum mangsa ditemui di tepi sungai dekat kawasan perkuburan.

“Setelah beberapa jam pencarian dilakukan, pada pukul 10 malam (waktu tempatan), kanak-kanak itu ditemukan di tepi sungai dekat kawasan perkuburan.

“Kanak-kanak itu ketika ditemui berada dalam kebingungan dan menangis,” kata satu hantaran di platform Instagram.

Selepas keadaan kanak-kanak itu bertambah baik, si ibu bertanya kepadanya mengenai kejadian yang berlaku.

Menurut mangsa, dia dibawa oleh satu lembaga berambut panjang dan berpakaian serba putih sebelum tersedar berada di tepi sungai.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh keluarga mangsa atau pihak polis berhubung kejadian itu. – AGENSI