Lelaki hilang di Sungai Belat ditemukan

LELAKI JUMPA

ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemukan lemas di Sungai Belat, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang penganggur yang hilang dipercayai terjun dari Jeti Batu 3, Sungai Belat, dekat Kampung Kurnia di sini, dipercayai melarikan diri daripada polis yang melakukan rondaan ditemukan lemas hari ini.

Mangsa ditemukan kira-kira pukul 2.30 petang tadi oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa ditemukan di persisiran sungai berhampiran jambatan baru di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dekat Kemunting iaitu kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Menurutnya, pihak keluarga mangsa juga telah mengesahkan penemuan mayat tersebut adalah mangsa yang hilang.

“Berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian mangsa yang berusia 45 tahun itu telah terjun ke dalam sungai bersama rakan, namun rakannya itu selamat apabila berjaya berenang dan berpaut pada bot yang berlabuh di jeti berkenaan.

“Kalau mengikut keterangan saksi di lokasi kejadian, mangsa dan rakannya berada di tebing di kawasan kejadian sebelum menyangka kenderaan yang melalui kawasan itu adalah pihak polis.

“Bagaimanapun pihak polis masih lagi membuat siasatan untuk mengetahui punca sebenar mangsa dan rakannya bertindak terjun ke dalam sungai berkenaan,” katanya di sini hari ini. – https://amiminerals.org/.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *